Petang ini saya terlalu letih. Letih dihujung Ramadan. Namun letih ini berbaloi, ada pahala dan makna, bukan letih yang cuma-cuma. Sudah dua petang KL hujan. Mendung, gelap dan kemudian langit pun memuntahkan segala isinya – air hujan. Ketika hujan reda langit KL kembali cerah dan seperti biasa udaranya nyaman sekali. Letih saya seakan hilang bersama hujan tadi. Saya segar kembali. Kerapkali saya bertanya apakah malam ini Lailatul Qadar akan menjelma. Hadir bersama ribuan bahkan jutaan ‘penduduk langit’ – mereka akan turun ke bumi. Apakah hujan tadi sebagai tanda, bahawa mereka sedang berbaris di penjuru langit. Soalan itu saya tanyakan sambil mendongak ke langit yang lembut.
Saya perlu sangat menjadi pencinta al Qadar yang merindui kehadirannya. Jika tidak pasti ia akan berlalu tanpa menyapa saya. Dia datang dan pergi. Kali ini saya perlu memberi makna baru buat Ramadan. 10 malam terkahir adalah moment-nya ‘the final count down’. Justeru saya akan berlari sepantas yang mungkin memecut hingga ke garisan akhir. Ada ketikanya saya tidak mempedulikan sengal di kaki, ada ketikanya saya tidak mengendahkan jerit pekik suara yang menyuruh saya berhenti. Untuk kali ini saya akan melakukannya dengan segala kudart yang saya ada, mahu saja saya melihat segala natijah yang akan terhasil. Jika saya mahu maka apa ‘jawapan’ Allah untuk saya! Jika kita bersungguh apakah respon Allah terhadap kita, apakah mungkin dibiarkan saja usaha hamba-Nya! Jadi mari kita lakukan yang tebaik dan saya sudah terlajak berlari maka tidak mungkin akan berhenti – cuma tinggal beberapa hari saja lagi.
Aneh!?? masih ada yang tidak terjua. Cuba bayangkan situasi ini, ketika kita tiba di pejabat desas-desus sudah bertiup kencang. Majikan kita akan memberi bonus 5 bulan gaji sempena Hari Raya ini. Wow! Satu mimpi yang menjadi nyata. Kita langsung ke premis majikan, belum sempat pertanyaan itu diajukan majikan kita berkata “Memang benar kali ni bonus kamu akan saya beri lebih dari apa yang anda jangkakan”. Kita terdiam dengan gaji RM5,000 sebulan tak dapat dibayangkan, bermakna hari Raya ini kita akan pulang dengan RM25,000. Namun kegembiraan itu tidak terhenti disitu, ketika kita pulang dan mahu memberitahu isteri dan anak-anak betapa kita akan memperolehi ganjaran yang besar di Hari Raya ini kita menerima SMS dari teman sepejabat yang memang bertugas sebagai PA kepada sang majikan; katanya; “Majikan bersetuju menambah bonus kita bukan 5 bulan gaji tapi 10 bulan gaji”. Kereta yang kita pandu terhenti sendiri, tanpa sempat kita menekan brek. Macam tak percaya, begitu pemurah sang majikan kita. Dihitung sendiri jika gajinya RM5,000 didarab 10 bulan bermakna RM50,000. Nah! jika itu gambaran gembiranya kita bayangkan al Qadar yang menanti BONUS YANG MAHU DIBERI BUKAN 5 BULAN, BUKAN 10 BULAN TETAPI 1,000 BULAN. Jika sempat dihitung RM5,000 didarab dengan 1,000 bermakna kita memperolehi RM5 juta. Dalam tempoh satu malam. Ketika kita mahu berangkat ke alam akhirat maka RM5 juta ini perlu ditukar nilai matawangnya ke matawang ‘akhirat’ yang entah berapa kali ganda nilaianya.
Oh! al Qadar sungguh malang mereka yang membiarkan ia berlalu. Dengan tidur dan dengkur. Sungguh beruntung mereka yang berjaga dengan solat dan munajjat. Terimalah kami sebagai hamba-Mu yang soleh ya Allah. Bagi mereka yang membaca laman ini sudah saya titip doa agar kalian memerolehi malam al Qadar. Amen.



