Mencari Bahagia – Buat Pasangan Berumahtangga

 

 

Dengan Nama Alah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.

 

Segala puji hanya layak untuk Allah, dari Allah segala kemuliaan. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan penghulu para nabi, utusan Allah serta pembawa rahmat ke sekelian alam.

 

Belum pernah saya lihat dalam majlis perkahwinan diisi dengan sesi tazkirah. Namun semalam dalam majlis perkahwinan Mejar (B) Hj. Abdul Aziz, ahli kariah saya (surau Sunway Batu Caves) meminta saya mengisi slot tazkirah selama 9 minit. Dihati saya ragu apakah mungkin saya mampu mengisi tazkirah yang dihadiri oleh jemputan kelas VIP dan formal begitu. Apa lagi sesi tazkirah yang julung kali saya lakukan sebegitu. Sering saja saya bertazkirah, tetapi di madrasah saya yang lingkunganya 10 orang paling ramai. Namun saya gagahkan juga bila mendengar lafaz kata beliau; “…kita buat saja, biar lain dari orang lain, yakinlah ini benda baik.” Saya diam dan termanggu, akhirnya  saya setuju dan berserah kepada Allah. Maka berikut antara lafaz dan isi tazkirah saya pada malam itu [setelah disunting dan dibaikpulih untuk entri ini].

 

Hari ini kita bertuah dapat menyaksikan permulaan sebuah kehidupan berumahtangga yang sungguh indah dan ceria. Doa kita moga Allah menganugerahkan kebahagiaan dan keberkahan disepanjang kehidupan mereka berdua, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Semoga bahagianya sampai ke anak cucu, sampai ke ahkir hayat bahkan sampai di alam akhirat; ketika mereka bertemu di syurga Firdausi yang mewangi ; itulah diantara taman-taman syurga yang indah lebih indah dari segala taman yang indah di dunia ini.

 

Alangkah baik jika rasa bahagia itu kekal berpanjangan. Bahagia yang dirasa hari ini sama saja pada minggu hadapan, sama juga pada tahun hadapan bahkan tetap sama untuk 10 tahun akan datang. Alangkah indahnya jika itu yang terjadi.

 

Nah, sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita akui atau tidak  yang kita cari itu sebenarnya adalah KEBAHAGIAAN.

 

Beruntung bagi orang yang beroleh bahagia, dapat menikmatinya walau sebentar dalam kehidupannya. Rugi bahkan malang bagi orang yang tidak mengenal erti bahagia, jauh sekali menikmatinya; stress sepanjang hidup, keluarga berantakan dan anak-anak jauh dari Tuhan.

 

Jika bahagia yang dicari, maka tahukah kita dari mana datangnya asal kata bahagia itu. Takrif bahagia adalah selamat, sejahtera, damai dan tenang. Nah, semua ini terhimpun dalam kosa kata Arab as SALAM. Dan as SALAM adalah antara 99 nama Allah. Maka sesungguhnya yang kita cari itu adalah Allah pemilik segala rasa bahagia.

 

Justeru carilah Allah, kenalilah Allah, ingatilah Allah dan cintailah Allah – nescaya hidupmu bahagia. Kerana kita sedang mendekat kepada pemilik segala rasa bahagia iaitu Allah.

 

Bahagia itu bukan pada harta, bukan pada wanita, bukan pada kereta, tidak juga pada pangkat, derjat, anak dan anda boleh senaraikannya lagi. Seperti kenyang bukan terletak pada nasi, seperti sihat tidak terletak pada ubat; maka bahagia itu tidak terletak pada benda tetapi pada empunya rasa bahagia iaitu Allah.

 

Bermula dari saat ini mari kita berusaha sedapat mungkin, dengan segala tenaga dan daya yang ada walau sesibuk mana luangkan masa, peruntukan waktu sebelum tiba saat waktu itu terhenti buat kita – carilah Allah. Seperti nabi Musa mencari Allah di gunung Thursina, seperti nabi Ibrahim mencari Allah dibalik bintang dan matahari, seperti nabi Muhammad mencari Allah disaat sunyi di jabal Nur.

 

Dalam kesempatan yang singkat ini, izinkan saya menyarankan apakah wasilah mudah yang dapat menghubungkan kita dengan pemilik segala rasa bahagia – iaitu SOLAT.

 

Peliharalah solat, sempurnakanlah solat, tingkatkan kualiti solat. Solat terbaik adalah solat berjamaah bahkan ada tuntutan bagi kaum pria untuk melaksanakannya di masjid atau musolla. Solat bukan ritual, bukan acara mahupun aktiviti sosial seumpama kita menghantar anak ke sekolah, bukan seperti kita pergi bekerja, bukan seperti kita singgah minum teh tarik di kedai mamak, bukan dan bukan. Ia lebih dari segala itu – ia adalah cara perhubungan makhluk dengan Khaliq – sang pencipta. Ia adalah tanda hubungan pengabdian, tanda kepatuhan bahkan tanda  cinta pada ‘kekasih bagi para kekasih’ – Allah. Solat itu mengupayakan kita untuk berkomunikasi langsung dengan Allah – merintih dan merayu, mengadu dan meminta, memuja dan mengagungkan-Nya.  Dalam satu waktu tanpa batas dan had. Peluang agung – bertemu Raja bagi Segala Raja yang tak bisa dilepaskan.

 

Tidak solat bermakna memutuskan hubungan langsung dengan Allah. Memutuskan hubungan dengan Allah bermaksud memutuskan cara untuk mencapai bahagia!

 

Awas! Carilah alasan untuk menunaikan solat bukan mencari alasan untuk tidak melakukannya; bimbang nanti kita tidak ada hujah di hadapan Allah kelak, ketika kaki ini berdiri tegak tanpa bergerak dalam sesi interogasi maha dahsyat di padang Mahsyar yang kering, tandus dan penuh azab.

 

Solat adalah tiang agama, barangsiapa yang meninggalkan solat bermakna dia sedang meruntuhkan agama [maksud hadis]; jika itu hal keadaannya dia perlu sedar bahawa dia dalam bahaya kerana dia sedang meruntuhkan  kehidupannya. Tidak ada kehidupan bagi orang yang tidak bersolat. Mana mungkin orang yang menginginkan kebahagiaan tetapi tidak berusaha menghubungkan diri dengan pemilik dan Empunya rasa segala kebahagiaan – Allah.

 

Bahagia ketika di alam perkahwinan hanya sementara, bahagia ketika memilik kereta indah dan baru hanya seketika, bahagia ketika punya wang yang banyak hanya seketika, bahagia ketika memperoleh cahaya mata hanya seketika – bahagia yang sementara sifatnya bermakna ia bahagia yang artificial, dalam erti kata lain rekaan dan tiruan semata-mata, hanya dibuat-buat.

 

Lelaki adalah pelindung bagi kaum wanita [maksud ayat]. Bermakna suami itu adalah pemimpin – imam, ketua keluarga. Suami itu kena kehadapan dalam segala segi. Trampil dan wibawa dalam segala isu, ketika dalam krisis dan bencana. Menjadi penyelesai segala permasalahan jika mampu bukan pencetus masalah. Para suami kena berusaha menjadi jaguh dan idola bagi isterinya. Jika tidak isteri akan mencari idola yang lain – barangkali David Beckham atau Sharukh Khan. Jika suami lemah dan tidak ada kualiti kepimpinan nescaya isteri akan beralih arah hormat dan keyakinan.

 

Sebelum kahwin kitalah segala-segalanya, pandai dan petah berbicara, tetapi setelah kahwin terbongkar segala rahsia. Betullah kata cerdik pandai kita hanya akan mengenal peribadi seorang lelaki hanya setelah dia dikahwini.

 

Mengapa banyak isu pergaduhan, pertelingkahan suami isteri sehingga membawa ke mahkamah, walaupun isu yang diperselisihkan hanyalah remeh dan kecil saja. Menjadi bahan media dan berita saban hari.

 

Hemat saya asal punca tetap terletak pada para suami – yang hilang kualiti kepimpinan. Walau macam mana kerenah isteri, yang patut kuat dan teguh adalah lelaki aka suami. Yang patut teguh dan tangguh adalah lelaki aka suami. Bukan marah-marah, bukan membentak-bentak, bukan tunjuk jaguh – cuba saja ikuti sirah  komunikasi nabi dan layanan pada Siti Aisyah. Jika masih ragu, kembali saja pada dalil tadi; lelaki (aka suami) adalah pelindung, pemimpin, jaguh, wira dan idola bagi kaum wanita aka isteri. Jika lelaki aka suami yang hilang kualiti kepimpinan maka bersiap saja bahtera rumahtangga hanya menanti saat untuk karam dan tenggelam.

 

Kenapa agaknya lelaki tidak ada kualiti disaat ini? Soalan cepumas untuk para wanita dan isteri yang stress dengan para suami! Hemat saya, para lelaki tidak melakukan PENCERAHAN HATI,  lalu tertutup pintu hati; yang sepatutnya ada kasih sayang, ada hemah dan ketrampilan, wibawa, berani, tegas bertempat, bijak dan hikmah, sabar dan gigih.

 

Hanya mereka yang cerah mata hatinya akan mempunyai kualiti ini. Mereka yang sering saja menjaga hati dengan solat dan zikir, melewati dan berusaha mencontohi sikap dan akhlak nabi. Tidak memilih-milih, tidak silap mentafsir ayat – lelaki adalah pelindung wanita dengan maksud lelaki punya kuasa mutlak memaksa kehendak dan kemahuan dirinya pada si isteri yang lemah. Itu hanyalah justifikasi bagi lelaki yang tidak ada daya, garang tak bertempat. Dengan orang lain baik dengan isteri dan anak pembengis. Lelaki yang berselindung dibalik ayat tadi dengan kata– kata; “… aku lelaki – suami faham tak! Ingat awak mesti ikut apa yang aku kata, patuh pada suami jangan derhaka, nanti masuk neraka” kata suami membentak-bentak si isteri. “Syurga isteri terletak pada redha suami!!!” katanya lagi sambil mata menjegil mahu menakutkan si isteri. Akhirnya isteri curang, suami yang culas dan tidak layak dicontohi itu ikut sama isteri masuk ke neraka, bahkan dia yang duluan kerana dia ketua keluarga! Barangkali ini sinopisis ringkas betapa kelirunya sang suami menggunakan veto ayat tadi.

 

Peringatan, tidak juga ilmu dan kitab yang banyak menjadi kayu ukur suami itu berhikmah dengan isteri dan keluarga, berapa ramai juga para ustaz dan ilmuan hidup berantakan sesama, tidak sefahaman dan sehaluan kerana pergantunganya hanya pada ilmu yang banyak. Bukan pada hati yang cerah – qalbunya tidak salim (bahagia).

 

Tidakkah orang tua kita dahulu hidup rukun dan damai, perselsihan diselesai tanpa menunggu hari dan minggu. Merajuk dan bermasam muka hanya untuk sehari dua. Marah, herdik dan membentak. Kerana lelaki dahulu [ ie orang tua-tua dahulu] punya wibawa. Berpegang teguh pada prinsip agama. Beramal dengan ilmu walau sedikit, tak tunggu habis degree atau universiti. Ramai dikalangan mereka tak tahu membaca hanya punya basikal tua, tapi hidup bahgia, rukun dan damai.

 

Sampai di sini dulu tazkirah BAHAGIA, nantikan tazkirah 5 minit seterusnya.  Apa Erti Keberkahan Hidup. Moga Allah menilai tulisan ini sebagai amal soleh dan mengambil kira ia salah satu cara meneguhkan agama-Nya. Walahu’alam.

 

Peringatan: Ambilan cuplikan dengan niat plagiat boleh menjadi satu kesalahan dan akan diminta pertanggungjawaban. Ambilan dengan izin lebih berkah – ilmu itu lebih memberi manfaat dan kesan di hati. e-mel : nuranimaarif@gmail.com kita boleh menjadi rakan bicara dalam memperbaiki diri. KalamNurani.

Tinggalkan jawapan