Sedangkan Lidah Lagi Tergigit …

Kebahagiaan adalah idaman yang dicari buat setiap pasangan. Sudah disebut dalam tazkirah terdahulu, itulah doa yang dipohon di awal perkahwinan. Tetapi sayang, tidak semua kisah perkahwinan itu berakhir dengan happy ending@happily ever after. Lazim yang kita dengar kini, ku sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahhari, kusangka bahgaia berpanjangan rupanya tersekat hanya di sini. Maka terjadilah perpisahan yang tidak diminta. Isteri bergelar janda suami kembali menjadi bujang tua a.k.a duda.

Itulah yang sering terjadi kini, selain tiada kualiti kepimpinan [melalui pencerahan hati] yang sepatutnya dimiliki oleh para suami; sebab ke-2 penyumbang terbesar masalah penceraian dan krisis rumahtangga adalah pasangan gagal menangani konflik hidup.

Pada hakikatnya krisis dan konflik tidak dapat dielakkan, ia adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga. Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Akan ada badai melanda akan tiba ombak menghentam pantai – maka bersiap sedia emosi dan rohani. Jika tidak engkau akan tenggelam dalam lautan kehidupan yang dalam. Ketika konflik menjengah lazimnya ia tidak memberi sebarang tanda, ia menyapa bagai angin lalu, yang dijangka boleh dielak tetapi yang menjadi krisis dan konflik itu biasanya yang di luar jangka.

Ia boleh berpunca dari pihak suami mahupun isteri atau anak-anak yang masih tak tahu apa-apa, atau dari punca yang tidak tahu asal usulnya. Dalam tempoh beberapa saat respons ke-2 [selepas insiden tercetus] ia akan menentukan darjah kepanasan konflik. Sering pasangan hilang pertimbangan, hilang punca, kaget dan buntu, menyerahkan pada nafsu amarah yang tak terbendung. Bagai api yang dicurah minyak bagai bara yang membakar sekam ia merebak dan memusnahkan segala. Akhirnya terjadilah apa yang tak sepatutnya terjadi. Sengekta, perang dan berpisah.

Begitu mudah lafaz cerai diungkap berbanding sebuah tugu cinta yang mahu dibina. Ketika janji yang ditabur dengan segala haruman, sumpah setia yang diikat, kata janji sehidup semati, kata pengorbanan lautan api yang sanggup direnangi – hancur menjadi hampas berterbangan. Lelaki lupa kata akad yang dilafaz adalah ikatan janji yang dipersaksikan oleh Allah – yang akan dimohon pertanggungjawaban. Pada saat ijab dan qabul seorang insan bernama isteri telah mempertaruhkan nasib kehidupannya pada lelaki bernama suami. Dan engkau suami telah mempersia-siakan, sebab itu di sana ada tuntutan.

Wanita sebenarnya tidak kuat menghadapi godaan dunia kerana bersamanya wujud belitan fitnah yang tidak boleh dirungkai [ maksud hadis]. Wanita dan fitnah itu sering datang beriringan. Kerana itu wanita perlu tetap dengan kehidupan bermaruah – syariat. Jika mereka lepas dari syariat maka Allah melepas diri dari perlindungan-Nya. Wanita dan maruah sering terikat dan ikatan itu adalah syariat. Ketika wanita melupakan syariat maka Allah melupakannya. Maka berbondong tentera iblis menggulatinya, tanpa dia sedar dan ingat. Wanita semacam itu sengaja mengundang bencana. Bencana itu yang disebut nabi sebagai fitnah. Ada kisah dalam quran yang bisa dibuat tamsilan iaitu ketika Hawa menginginkan sesuatu yang dilarang Tuhan (Hawa mengingkari perintah aka syariat Tuhan). Oleh kerana itu wahai kaum wanita seringlah perhantikan nafsumu, awasi ia sebelum ia menguasaimu. Pelihara maruah dan kehormatan diri sepertimana engkau memelihara nyawamu sendiri.

Mengundang Keberkahan Hidup

Hakikatnya bukan daya kita untuk mengawali semua ini setan, nafsu, godaan, bisikan, fitnah, dengki dan khianat serta segala macam jijik dosa lainnya. Hanya Allah pemilik segala sesuatu. Saya sering bertanya apakah contoh terbaik bagi menjelaskan sebuah kehidupan berumahtangga yang dipelihara jawapannya adalah keberkahan [ boleh juga disebut berkat tetapi dalam lafaz Arab jika diwasol-kan ia dibaca dengan huruf ha zikir kifarah bukan zikir kifarat]

Saya sering bertanya apakah formula terbaik untuk kekal hidup bahagia. Saya berfikir lama, yang bertandang difikiran adalah contoh kehidupan orang tua-tua [ bukan orang-orang tua, perlu dibezakan] orang dahulu kala boleh jadi datuk dan nenek kita atau barangkali ayah dan ibu kita juga. Hidup mereka kekal rukun dan damai, jarang bersengketa, kalau adapun tidak kelihatan kerana disorok dari pengetahuan anak-anak. Harta mereka banyak boleh mewariskan pada anak-anak kebun durian, kebun getah, sawah ladang, tanah ekar, lembu kerbau dan harta pusaka lain yang tak pernah difikrikan, sedangkan mereka sekolah tak tinggi, hanya di sekolah beratap rumbia atau ada yang tak bersekolah langsung. Anak seramai 12 orang boleh dibela dan berjaya belaka, kita anak yang tak sekerat mana sudah berhabis ilmu psikologi diguna, yang merempit merempit juga, yang bohsia merata dan kaki buli makin menjadi-jadi. Itu semua terjadi di zaman kita yang bersekolah tinggi, kaya dan banyak harta. Maka di mana silapnya atau apa rahsia mereka?

Jelas inilah contoh terbaik bagi menggambarkan hidup mereka dilingkungi keberkahan.

 Apa makna berkah. Berkah mengikut takrif mudah ialah – sikitnya mencukupi banyaknya tidak mudharat.

Di saat buntu ada saja jalan keluar, di saat sukar ada saja pintu kemudahan, di saat krisis ada saja pertolongan, di saat ribut ada saja damai dan begitulah seterusnya. Kehidupan mereka ibarat hi-way yang tidak tersekat-sekat. Meluncur laju menuju destinasi. Persoalanya mengapa boleh terjadi begitu, mengapa mereka memperolehi keistimewaan itu? Jawapannya mereka hidup dengan prinsip agama – ad Deen.

Kita pasti pernah mendengar pepatah, peribahasa, petua dan pantun nasihat. Rupa-rupanya semuanya itu bukan dicipta secara bersahaja tanpa tujuan dan manfaat. Bukan sekadar pantun seloka, joget inang yang dicipta untuk tujuan budaya. ia adalah khazanah ilmu agama yang tersimpul di dalamnya prinsip agama yang ketat. Perhatikan peribahasa ini sedangkan lidah lagi tergigit bermaksud maafkanlah pasangan, kita tidak sempurna. Peribahasa ini barangkali di ambil dari kisah nabi yang baru pulang dari berdakwah lewat malam. Biasanya Siti Aishah ra menanti baginda, dia yang membukakan pintu setelah salam diberi. Namun pada malam itu nabi sendiri di depan muka pintu. Di ucapkan salam beberapa kali di hadapan pintu yang boleh saja dikuak-tendang kalau marahnya kita. Pintu rumah nabi tidak ada grill besi. Tapi nabi tetap menunggu dengan penuh setia, ternyata Aishah sudah tidur lena. Apa yang nabi lakukan – luarbiasa baginda tidur di depan pintu itu [setengah riwayat di pangkin kerusi bersebelahan pintu]. Sehingga dinihari menjelang subuh Aishah bangkit dan membuka pintu, alangkah terkejutnya isteri nabi suaminya tidur di depan pintu. Dengan rasa sedih dan kecewa pada diri di menghampiri nabi memapahnya berdiri dengan niat memohon maaf. Ketika nabi terjaga nabi yang terlebih dahulu mengeluarkan kata maaf kerana balik lewat semalam. Terharu dan luarbiasa akhlak nabi. Maafkan saja, tidak usah berpanjang-panjang marahnya. Inilah kisah yang pernah saya dengar.

Pepatah rezeki secupak tidak akan menjadi segantang sering disalah faham. Ini bukan pepatah untuk tidak berusaha ia adalah saranan supaya bersyukur. Dengarkan kisah ini, ketika nabi berpagi mendatangi isteri Siti Aisyah dengan niat untuk makan pagi. Nabi bertanya pada isterinya, wahai humaira apa yang boleh kita makan pagi ini? Kata Siti Aisyah dengan nada sedih. Kita tak punya apa-apa wahai nabi Allah. Gandumnya tidak selalu tersimpan tamar sudah habis dimakan. Apa kata balas nabi dengan tenang; wahai sayangku kita berpuasa hari ini” luarbiasa. Baginda syukur apa yang ada, jika tidak ada baginda bersyukur apa lagi ketika rezekinya banyak. Begitu barangkali kisah nabi ini, kisah yang lebih tepat perlu dirujuk berdasarkan hadis dan sirah nabi saw. Maknanya apa, orang tua-tua dulu berpegang pada prinsip agama, hidup mereka dilingkari dengan ad Deen. Sungguhpun mereka tidak mengaji kitab tapi mereka hidup dengan inti agama. Ad Deen adalah Islam dan Islam itu adalah way of life. Berbanding kita hari ini banyak yang kita tahu tetapi sedikit yang kita berbuat. Bahkan lebih banyak cakap dari berbuat sehingga Allah membenci orang yang berkata tetapi tidak melaksanakan apa yang dia kata [maksud ayat].

Sekian dulu tazkirah keberkahan hidup, kita sambung makna agama dalam siri akan datang, insh Allah.

Satu Respons kepada “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit …”

  1. Subhana-Allah…syukran ya akhi.

    cerita begini selalu terbentang depan mata .benci,marah,sedih,pedih,airmata telah terlalu banyak tertumpah.semuanya kerana sbb yg satu.melupakan yang Maha Pemberi Kasih Sayang.tercabutlah ihsan.

Tinggalkan jawapan