MARHABAN YA RAMADHAN

Benarlah Ramadhan adalah bulan untuk rohani, bukan bulan untuk jasad. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan memulihkan rohani bukan melebihkan jasad. Bulan Ramadhan adalah bulan membaiki rohani bukan bulan membesarkan jasad. 11 bulan yang lalu kita mendahulukan jasad dari ruh. Sudah lama kita melebihkan jasad dari ruh, sedangkan ruh-lah yang akan diperkirakan nanti di akhirat dan jasad itu akan kekal dimakan ulat.
Samaada sedar atau tidak kita selama ini kita mengutamakan jasad (nafsu) dari rohani. Kita tidak peka. Mengikut saja kehendak perut, menuruti kemahuan syahwat, amarah mata yang tak terjaga, bisa mulut yang mengata, telinga yang mencuri dengar bicara fasik. Perhatikanlah jamah makan kita berapa kali sehari-sampai senak pundi berak, berapa jenis aneka lauk juadah; perhatikan pula berapa kerap kita membaca Quran dari koran-berapa helaian yang kita selak berbanding koran yang lusuh, berapa sering lidah basah dengan zikir dan solawat dari nyayian dan hiburan santai lagu cinta dan pencinta wanita. Perhitungkan – sejenak.
Kita menurut kehendak amarah tanpa mempedulikan rintihan rohaniyang sentiasa menanti. Ironisnya, dalam bulan Ramadhan masih tetap berkira berapa jenis kuih yang nak dibeli berbuka, lauk apa yang sedap untuk makan bersama, hotel mana nak bawa keluarga; bahkan seawal bulan Ramadhan ini sudah diperkira berapa jenis kuih raya mahu dibeli berapa pasang baju raya ditempah. Bukan tidak boleh boleh tetapi bagaimana dengan rohani kita. Sedangkan bulan ini bulan menghimpun pahala bulan diampunkan dosa. Masih mahu menghitung si nafsu yang tak banyak membantu.
Kasihan rohani yang sendiri dalam diam merintih menanti makanan dan minuman buat menyuburkan ia yang sudah sekain lama gersang. Sudah lama kelaparan. Dahaga dan kekeringan. Sudah tiba masanya kita serius dan fokus dalam bulan ini bulan Ramadhan, beri 110 % untuk rohani. Ketahuilah, perjalanan kita sebenarnya adalah perjalanan roh bukan perjalanan jasad.
Kita adalah musafir yang singgah di alam dunia. Ketika mati yang terkujur kaku adalah jasad yang meneruskan perjalanan hidup adalah ruh. Anda pada hakikatnya adalah ruh bukan jasad. Yang akan menerima balasan amal baik dan buruk nanti adalah ruh bukan jasad. Jasad kita sudah hancur dimamah tanah bersama ditemani ulat dan kala. Jasad yang dulu dikatakan hansem-cantik , segar-bugar, gagah dan perkasa hanya kenderaaan untuk ruh. Sangkar bagi kehidupan. Yang terbang pergi adalah ruh, maka yang diperkirakan adalah ruh bukan jasad. Di sana nanti kita akan dipakaikan jasad baru yang belum tentu?.
Apakah kita lupa, ketika kita di alam arwah kita semua ditanya ‘Bukankah Aku Tuhan kamu, jawab kita; bahkan kami menyaksikan Engakulah Tuhan kami”. Maka kita diuji atas kalam yang kita perkatakan, kita dihantar ke dunia. Masuk ke alam rahim (ibu) kemudian zahir ke dunia dengan disaluti tubuh yang bergelar jasad. Maka bermulalah era jasad. Jasad diperhatikan, yang diperelokkan dan diharumkan. Perhatikan jasad arwah Ustaz Asri ketika terkujur kaku di pembaringan diam tidak bergerak. Bukankah dulu dia tangkas di pentas, bukankah merdu suara nyayiannya tapi kemana dia pergi. Kenapa dia diam kaku di situ. Dia sudah menjadi ruh…
Ayuh mari kita perhitungkan amal kita besarkan ruh, pulihkan ruh dan perbaiki ruh di bulan Ramadhan ini; dengan solat yang khusyuk, dengan Quran yang membangkit jiwa, istiqamah walau setengah muka, lazimkan zikir dan selawat alunkan dia dicuping telinga kita. Hiasi bulan ini dengan 1000 ibadah sebelum 1000 bulan menyapa kita.
Bulan Ramadhan disambut bak tetamu agung oleh para kekasih Allah dan para solehin. Mereka menyambut tetamu ini dengan amal, menghidangnya dengan zikir-solawat, menyantuninya dengan adab dan akhlak dan menyediakan kamar tidurnya dengan Qiamulail. Berbahagia siapa yang berjaya menghiasi Ramadhan hingga ke hujung.