Menjadi Seorang Penulis: Saya Sudah Siap
Tanpa menoleh ke belakang, saya maju. Ketika orang lain berhenti mempersoalkan benda yang tak pasti. Aku terus melangkah. Angin terasa menampar ke muka. Aku bagai menongkah angin deras. Namun aku tetap maju. Bermula Januari 2009 aku tekad dan sudah berserah bulat, dengan imijinasi – bagai Leo Tolstoy yang menulis ‘tales’ War and Peace atau seperti Thomas Hardy dengan kisah klasik misteri. Charles Dickens pernah menulis Tale of Two Cities aku berangan lagi, dan aku masih mencari penulis Islam seperti Iqbal yang menulis dengan bahasa tinggi atau seperti Ali Shariati yang mengubah histori alam pemikiran kontemporari. Dalam gambaran imej wajah mereka yang berbalam-balam aku membuat pengisytiharan aku sudah siap menjadi seorang penulis. Dan kini saya sudah berada tanggal 3 January 2009. Bermakna saya sudah bermula – kelmarin.
Disipiln menulis, belum ada. Lazimnya aku tidak tetap menaip atau mengarang cerita. Aku akan mencatat ‘pabila’ ilham datang. Dan menaipnya sejurus berada di depan lap-top. Aku senang begitu buat masa ini. Mungkin siang ilham itu datang, mungkin kesiangan tanpa ilham; barangkali malam ilham tiba dan malam itulah segalanya.
Pada asasnya aku menulis bukan menaip, memindahkan ilham-ilham itu ke dalam buku kecil yang termuat di kocek atas kaus kerjaku. Aku sangka ia lebih menepati citarasa seorang penulis daripada duduk mengadap lap top menanti ilham yang tak kunjung tiba. Menaip hanya bila berada di depan lap-top. Jika segera ilham tiba ketika aku berada di depan lap-top maka itu sudah lumayan.
Aku tidak boleh menunggu lagi. Masanya amat suntuk. Khalayak sedang menuggu-nunggu. Walau mereka tidak bersuara namun nurani ini tetap mendengarnya. Suara itu amat halus dan ada ketikanya mendayu. Suara hati yang bertanya bagaimana? di mana? Kenapa? apakah mungkin? Semua itu perlu dijawab segera. Seumpama menyedia hidangan di restoran kopitiam – tak boleh bertangguh nanti pelanggan marah-marah. Penulis ada ketikanya perlu menjadi pelayan yang santun; dengan tulisan ini moga dahaga itu hilang, selera penuh kembali, tubuh menjadi segar – kepuasan adalah segala-galanya. Barangkali itulah tanda kesempurnaan.
Hayat kita tidak lama, kita perlu mencari jawapan pada setiap persoalan. Atau barangkali kita perlu memberi jawapan pada sesetengah persoalan. Maka aku di sini dan anda di balik sana, aku menulis dan anda membacanya. Tidak kira apa tajuknya atau laras cerita, asal orang boleh dan akan baca; dan pastinya mesti akan ada orang baca. Aku menulis bukan ‘kerna’ nama. Aku menulis kerana obligasi menyampai walau sepotong ayat. Menghurai makna dan maksud. Maka jelajah ini sudah bermula. Anda boleh ikuti bicara dan perkembangan dunia penulisan saya di http://www.kalamnurani.com . Selamat membaca.



Medan, 1 -11-2009. Saya di sini kelmarin, semalam, dan hari ini akan berlepas pulang ke Malaysia. Tujuan, menelurusi jejak Melayu di nusantara. Melayu Deli . Serasa berada balik di zaman Melayu Lama ketika naik ke istana Maimoon di kota Medan. Rekabentuknya persis istana Melayu Johor. Di Medan bangsa yang sering disebut dan dominan adalah Melayu dan Batak karo, selain bangsa Jawa dan yang lainnya. Melayu tetap sentral di sini, tidak boleh dipisah dan dihapuskan sepertimana tersergamnya istana Maimoon di tengah-tengah kota Medan.
Kata pemandu pelancong kami, di sini sebenarnya tanah dimana ramainya bangsa Melayu tapi orang Batak lebih dahulu deras mengambil peluang. Orang Batak yang dikatakan garang dan makan orang itu hanya mitos dan legenda pahlawan mereka, tidak lebih dari itu. Orang Batak kini lebih pandai ‘makan duit’ dari makan orang. Maka-nya, Melayu di tanah Medan hanya kekal di lingkungan istana Maimoon, yang lainnya tidak kelihatan. Pergi ke Medan bermakna untuk libur dan santai, orang Malaysia kerap ke sana katanya mencari dan melepas ‘angin’ dan ‘lelah’ mereka. Saya musykil. Ketika di Polonia airport kelihatan jejaka dan abang Malaysia yang ditemani cewek Medan – saya cemuh. Barangkali ini antara punca Melayu hilang di tanah Sumatera.
Kita akan terus bergelut dengan isu kerana hubungan kita terlalu dekat – ibarat adik beradik. Namun saya percaya air dicincang tidak akan putus. Kita serumpn. Isu dan krisis akan tetap ada. Cuma saya percaya ada pihak ke-3 yang entah siapa yang mencari silap agar Malaysia-Indonesia tidak aman. Semacam ada orang ini, menanti isu untuk diperbesarkan. Semoga kita bijak menangani segala kemelut dan perbalahan – lebih memandang ke hadapan dengan bijak dan rasional bukan dengan emosi.