WAJAH POLITIK YANG BARU

Membaca laman entri dan blog yang banyak, paparannya masih kisah politik. Itulah tema yang terus dibaca. Kisah dan rencana yang melatarinya masih berpaut pada bicara politik. Kisah kandang Babi di Sepang; DS Anwar yakin BN akan kecundang by end of September; Pak Lah terus ditekan agar letak jawatan; Bahagian UMNO giat buat EGM tentukan undi dan proses peralihan, arah politik Sabah yang masih menjadi tanda tanya.  Ada khabar berita yang halus nada bunyinya segelinitr ahli PAS dirundung keliru dan bimbang Pakatan Rakyat yang cenderung pada prinsip liberalisme. Dalam pada itu rakyat terus berharap pembaharuan berlaku.

Senario ini mewakili wajah politik baru negara amnya dan orang Melayu khususnya. Ia ibarat alunan baru yang sedang membentuk riak setelah dipukul gelombang besar. Persoalannya siapa yang sedang mencorak segala alunan dan riak ini. Orang banyak terus dialpakan dengan harga beras yang sedang naik, ibarat mainan harga saham yang akan mempengaruhi psikologi. Tanpa sedar orang banyak sedang dicorak oleh alunan yang rencam sifatnya, usaha sedang dibuat dari semua pihak yang memang reti politik baik pakatan Rakyat dan sudah tentu parti yang memerintah. Ini hanya sebahagian dari silibus politik Michavelli.

Ada ketika kita kena insaf teras falsafah politik Melayu harus berpaksikan Islam, Iman dan Ihsan. Bukan mainan pengaruh dan kuasa. Sudah letih generasi demi generasi dimain dan dimomokan dengan janji dan slogan. Harapan untuk generasi akan datang terletak pada para pemimpin yang tulus, ikhlas dan jujur. Kita telah tumbangkan bukan parti bahkan individu yang tiada inti ini dalam dirinya. Rakyat yang banyak sudah pandai menilai, dan barangkali bijak membaca alunan dan riak politik baru; baik dari parti memerintah mahupun pakatan Rakyat. Jika kita boleh menghukum Barisan Nasional tidak mustahil rakyat yang banyak akan menghukum Pakatan Rakyat kerana yang diinginkan bukan simbolnya tetapi aspirasi dan janjinya.

Jelas rakyat bukan seorang dua bahkan semua mahukan integriti, kejujuran, keikhlasan, pembaharuan, jaminan dan segala yang tercetus dari hati nurani. Suara yang terbit baik dari petani, buruh, pemandu teksi, kerani, peon, nelayan, pesara, ibu tunggal dan segala warganegara ini yang layak mengundi dan tidak. Yang diberi adalah sebuah amanah kuasa untuk mengubah melakukan pembaharuan secara jujur tidak memihak dan polos segala belanjanya.

Namun harapan ini bisa saja dikaburi, dengan istilah politik yang jargon, kenyataan yang muluk-muluk didada akhbar rasmi dan nyamuk; bak penyedap hati dan penyendal rasa. nah, jangan kau fikir kami buta wahai segala politikus, YB dan ahli kabinet. Akan kami titip lagi kemahuan dan amarah yang tak tertunai seperti mana amarah kamu semua yang rakus mengejar jawatan dan pangkat. Jangan difikir layak mu kerana kepetahan bicara, kerana indah bahasa, kerana bijak mengemukakan ide dan teori,; tuan-tuan semua itu cerita dulu yang sudah basi. Kini ada mata dan telinga yang memerhati dan menagkap segala isyarat walau ia tersembunyi; kerana generasi ini dan seterusnya harus tumbuh sempurna. Tidak menjadi bahan sorak dan teriak umpama segerombolan kambing yang tidak mengerti apa-apa.

Moga kalian yang membaca bisa mengerti dan tanamkan dalam hati sanubarimu bahawa gelombang yang dulu pernah tercipta, kini sedang membentuk riak baru dan beralun mengikut gerak dan tari Tok Dalang-Tok Dalang; yang punya banyak cita dan citra, wajah dan rupa. Doakanlah saja agar yang haq dan murni itu terjelma. Ameen.

Advertisements