BABI DULU DAN SELAMANYA

Babi tetap babi walau  dibedak dan dicelak. Walau diubah nama seindah khinzir atau lembu pendek; perutnya tetapi membuncit, hidungnya tetap pesek, bunyinya terus mendengus begitu. Tak ada yang hensem. Bukan maksud menghina, inilah uniknya kejadian Allah. Hina ini satu subjek yang subjektif, dalam al Quran Allah ada menyebut seburuk-buruk bunyi adalah bunyi himar. Buruk tetap buruk, nak buat macam mana. Sifat buruk itu Allah jadikan sebagai perbandingan untuk yang indah dan cantik.

Itulah perihal Babi yang hebohnya di negara kita, riuh satu ‘Malaya’. Balik- balik cerita babi, sampai popular kawan tu. Macam biasa, pantang ada cerita babi pasti akan terus mengundang rasa tidak enak, nak meloya anak tekak. Lagi diulang lagi galak nama babi disebut orang. Macam biasa, pantang orang Melayu sebut nama babi sensitif katanya. (corecction: Saya pun Melayu juga). Jadi nak mengelak sensetiviti agaknya atau mungkin nak jaga hati segala babi, maka tidak disebut nama babi. Langsung ada istilah lain yang lebih enak ‘lembu pendek’ dan khinzir menjadi pilihan. Kalau disebut khinzir maka bicara tentang babi boleh diteruskan, walau bicara itu di kedai kopi.

Hairan, macamlah kalau diubah nama makhluk ini, najis beratnya berubah menjadi ringan. Saya kira ini soal mentaliti, punya jaga dan bersopannya orang kita. Ubah istilah je semuanya boleh jalan. Apakah keadah ini digunapakai untuk hal-hal yang lain juga; masih menjadi tanda tanya? Ada yang kata boleh jadi- macam istilah Islam yang liberal dan lebih moden atau mahu kelihatan maju dan sesuai mengikut peredaran zaman maka diberi nama Islam Hadhari, contohnya. Kalau tak sesuai kita cari contoh lain, macam Disko atau kelab malam atau Pub; ditukar pada isitlah ZAUOK kan sedap bunyinya, macam bunyi Arab-kan. So, tak lah rasa dosa sangat kalau goyang terkinja-kinja. Rasa macam menari orang sufi agaknya.

Jadi, saya rasa soal mentaliti lah ni, tapi yang sedihnya orang Melayu mudah sangat diperdaya (kalau guna istilah diperbodohkan sensitif pulak). Orang Melayu kena ubah paradigmanya – maksud saya kena cerdiklah sikit pilih apa yang patut di sensitifkan. Pernah juga saya dengar orang kata bukti Melayu  sensitif lekat pada bahasanya yang banyak berbunga dan bermelankolik, banyak berkias dari berterus terang. Sebetulnya bukan sensitif tapi orang Melayu kaya dengan budi bahasa, sopan santun dan menghormati. Malangnya orang lain yang ‘tak reti bahasa’ – kurang ajar lagi ada.

Harap-harap generasi baru (Gen 2) generasi post Hadhari lebih bijak. Sensitif biarlah bertempat, nak ditipu biarlah mereka yang dungu. Macam Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang; cerita ini nak dijadikan teladan dan sindiran buat orang bebal dan dungu, bersekali dengan mereka yang naif. Orang dulu cerita macam ni tak saja dijadikan hiburan tapi difaham sampai ke akar umbinya. Tapi orang kita macam tak mengerti. Watak Pak Pandir dan Lebai Malang-lah  banyak ditiru orang. Bebal, naif dan dungu.

 Sebab saya buka cerita ini dengan babi maka patut sangat saya tutup dengan cerita babi juga. Marah sangat kita dengan kasut kulit babi, gelatin babi, sampai terlupa pesan nabi yang maksudnya ; Barangsiapa yang dengar azan subuh tapi terus tidur maka telinganya dikencing syaitan dan jika menarik dia akan selimutnya maka dia diselimuti dengan kulit babi. (saya kena semak juga keaslian hadis ini, cuma buat masa ini saya titip maksudnya bukan matannya dari buku Muhammad Isa Daud bab telinga dikencing syaitan).

Maka inilah penutupnya kalau kita tergolong orang terus sedap tidur jika azan subuh berkumandang maka sila semak dulu sebelum menyalahkan babi dan yang sewaktu dengannya.

 

Advertisements