HARGA NAIK: MASA UNTUK BERUBAH

Ketika kemuncak pilihanraya baru lalu kita dilaungkan dengan slogan ‘Masa Untuk Berubah’. Janji ‘perubahan’ yang dilaungkan sungguh mempesonakan. Persoalannya apakah kita terperangkap dengan mentaliti perubahan yang ‘grand desgin‘ sifatnya hanya disaat Pilihanraya sahaja? Apakah kita sedar bahawa perubahan semacam itu berlaku lima tahun sekali? Dan tidakkah kita perasaan bahawa penentuan perubahan itu terletak ditangan kita – suara majoriti rakyat? Mari kita berubah. Seorang muslim mukmin harus berubah disetiap saat pada ketika dia bermuhasabah dan bertaubat. Itulah moment perubahan yang benar. Nah! jika kaedah ini digunakan pakai untuk muslim seluruhnya maka kita tidak perlu menunggu untuk lima tahun lagi-kita berubah sekarang.

Krisis memberi tanda sebetulnya bahawa ada yang tidak kena. Selaku muslim mukmin yang diberi mata hati wajar ‘membaca’ apa yang tidak kena. Ada 2 tanda yang jelas; Pertama, inilah bahana sistem kapitalis yang kita dokong. Sistem kapitalis bukan dari Islam, justeru terasa selasa dengannya juga satu tanda ‘fasik’. Hari ini kita immune dengan kesan berganda sistem kapitals bahkan tak mengerti susur galur sistem ekonomi yang kita dokong (kerana sibuk tumpu politk Islam – jahil ekonomi Islam pun perlu diperjuangkan massa). Islam tidak hanya memerangi riba, judi, maisir dan gharar ; bahkan yang utama adalah ketidakadilan. Nah, inilah yang berlaku dengan jelas keuntungan dikaut semaksima mungkin oleh kaum pemodal. Sudahlah dalam senang mereka sedia kaya dalam saat kesusahan inipun keuntungan tetap memihak kepada mereka. Sikap mereka yang menekan langsung tidak diambil peduli. Kerajaan terus membuntut gerak mereka. Kalau beras disorok merayulah kita, kalau stok tepung disimpan putih matalah kita. Betapa biadapnya mereka kaum pemodal yang tak berhati perut ini. Kenapa?  kerana sistem ini membenarkan, inilah ‘rule of the game’ – nya. Kerajaan Hadhari patut bangkit membenteras dari sudut gerakerja ekonomi, bukan sekadar bina masjid atau buat pesta kampungan sahaja. Ada agenda lebih besar iaitu mengubah lanskap ekonomi negara ke arah yang lebih Islamik. 

Tanda kedua, ekonomi negara tidak dikuasai oleh muslim mukmin. Umum mengetahui sektor ekonomi dikuasai oleh bukan Melayu, statsistiknya ada – boleh dicari. Ketika saatul usra (saat kesukaran) terasa sangat perlunya para ekonomis seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Tidak ada yang terpanggil mahu menjadi jaguh jutawan muslim seperti mereka, yang mahu tampil membetulkan keadaan. Bukan setakat berteori dan berseminar. Kita perlukan jaguh yang bersedia menginfaqkan hartanya ke jalan Allah dengan melabur pada kaum tertindas yang miskin dan tertekan dengan kenaikan harga barang. Jika mereka ada disaat ini sudah pasti mereka lebih rindukan pahala yang dijanjikan Allah dari menyimpan di ‘index’ selamat atau di ‘fixed deposit’ di seberang laut.

Sistem ekonomi Islam tidaklah serumit yang kita jangka, teori dan kertas kerja ini hanya untuk landsan ilmu. Asasnya terletak bagaimana kita menguruskan harta baitulmal, wang zakat dan yang akhir bagaimana mengoiptimumkan gerak kerja jihad ekonomi dari kalangan jutawan muslim. Teringatlah kita bagaimana Saidina Umar ketika menjadi Khalifah, diadakan rondaan sendiri untuk mencari penerima harta baitulmal ketika saat orang lain sudah tidur. Juga kisah bagaimana saidina Abdul Rahman bin Auf mengambil alih dominasi kaum pemodal yahudi ketika tiba di pasar Madinah.

Advertisements

Politik Melayu Kembali Ke Era Pra-matang

Sedih mengenangkan kemelut politik orang Melayu. Bertingkah sampai bercerai, berbalah bak kokok berderai. Sahut menyahut kata nista, caci maki dan mengata, tak puas hati, dendam kesumat semuanya sudah jadi ‘tag’ – tanda orang Melayu. Tak lekat semua satu pasti ada. Kelompok, puak, kroni dan segala macam jadi teras politik orang Melayu. Kata pepatah ‘Bersatu itu Teguh..’  hanya terpakai dalam garis lingkungan sendiri bukan untuk sesama bangsa. Ingatkan sesudah selesai PRU boleh duduk makan semeja, rupanya tidak makin keruh di hulu semakin kelam di muara. Elemen ‘ketidakpastian’ adalah satu kekurangan yang nyata.

Dimana silapnya, jika merujuk pada dua parti utama yang jadi peneraju orang Melayu iaitu UMNO dan PAS, maka sinar terang masih tidak kelihatan. Sungguh yang kelihatan menang dalam PRU suara keadilan dan kuasa baru yang lebih transparent melalui Pakatan Rakyat namun terlalu awal untuk mengatakan PKR mewakili orang Melayu seluruhnya. Hasil dan natijah PRU baru lalu, jelas menampakkan rakyat memilih prinsip bukan simbol dan institusi. Dengan kata lain intinya. Kekurangan ini jelas pada UMNO, PAS selamat kerana terus berpegang dan menjulang al Quran dan as Sunnah; kerana keduanya adalah teras segala inti.

Inilah yang tidak difahami oleh Melayu UMNO hingga ke akhirnya, mereka hanya memperjuangkan slogan, simbol dan institusi (dan keris juga…). Bukan tidak ada arus dan kelompok yang teguh memperjuangkan ‘inti’ dalam UMNO, pasti ada; tetapi persoalannya berapa kerat dan apakah ia membudaya? Jika kenyataan tadi dipertikai, mengapa orang Melayu UMNO sendiri dan Melayu lainnya ‘cuak’ untuk memilih BN-UMNO dalam PRU baru lalu. Berapa ramai atau berapa kuat arus mempertahan dan memperjuangkan bahasa Melayu, tanah Rezab orang Melayu, agama orang Melayu dari terus dicemari dari anasir murtad dan elemen fasik. Betapa bobroknya akhlak remaja Melayu hanya jadi bahan cerita buat pelaris media. Berapa ramai pendekar dan pahlawan Melayu yang tampil secara konsisten dan sanggup berhujan panas mempertahankan segala isu-isu tadi. Sepertimana sesetangah mereka yang gagah mempertahankan jawatan dan kerusi; yang sanggup berkerat rotan dan berpatah arang. Dimanakah mereka? Kini UMNO hilang punca terpaksa mencari kekuatan luar, simpati sebetulnya. Parti yang dahulunya gah kini bak singa tua yang hilang taringnya. Tinggallah anak-anak singa (cub) – si simba. 

Dalam masa yang sama PAS tidak diterima secara total oleh orang Melayu kerana fakotr yang pelbagai.  Jika ada yang menyokong PAS mungkin hanya kerana Tuan Guru dan negeri ‘serambi Mekah’ atau kerana tetap pada prinsip Shariah dan berbagai faktor yang terpisah-pisah. Maka PAS masih perlu berusaha untuk diterima sebagai yang dominan (melalui dakwah dan tarbiah barangkali). PKR masih mencuba ‘resipi’ baru buat mengubat duka lara orang Melayu, Cina, India, Iban, Serani dan pelbagai lagi. Diantara celah dan kemelut itu kelihatan ‘tongkat sakti’ orang Melayu yang tidak pasti siapa empunyanya? Siapa yang bersedia untuk menyambut ‘tongkat’ itu lalu melangkah gagah masih menjadi tanda tanya?

GELOMBONG YANG MEMBIMBANGKAN

Menang dalam rayuan guna nama Allah bagi semua agama

http://www.sunstar.com.ph/static/net/2008/05/05/catholic.newspaper.wins.first.hurdle.vs.allah.ban.order.(2.08.p.m.).html

Permulaan membawa kes pengunaan nama Allah dalam akhbar Khatolik

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/4/24/courts/21048317&sec=courts

Ketika kita sibuk berbahas dan bertingkah sesama kita dalam hal Syiah, Wahabi, Sunnah, Sufi dan pelbagai lagi; ketika itulah dakyah Kristian masuk secara halus – menyusup senyap melalui pintu depan dan belakang. Ketika kita belum selesai dengan masalah bidaah dan sesat; belum puas menyalahkan para Ulama’ dan Ustaz kita dan generasi muda terus keliru siapa kawan siapa lawan. Kenapa? dek kerana hilang adab dan etika berkhilaf lebih banyak debat dan mujadalah. lantas yang dipertaruhkan adalah aqidah anak remaja kita.

Aqidah remaja yang  tipis, beramal dengan jalan taklid. Maka dapat dibayangkan betapa kelirunya mereka nanti bila Tuhan yang dirujuk sebagai Allah itu sebenarnya Tuhan Jesus yang turut sama disembah oleh orang Kristian Khatolik. Betapa dapat dibayangkan Quran yang dibaca itu intipatinya adalah ajaran Bible. Kita perlu align kembali gerak kerja dakwah kita dari akar umbi hingga ke para mufti. Tangguhkan dulu segala tingkah dan khilaf. Kerahkan segala kudrat untuk mendidik umat memperkukuhkan Tauhid mereka dan meninggikan amal Islami.

Ketahuilah para pendakyah Kristian ini sudah jauh kedepan. Sungguhpun mereka batil tetapi jika kerja mereka berencana mereka punya potensi untuk menang. Bukankah itu pesan Saidina Ali. Tanpa segan dan takut mereka kedepan dalam hal ini (seumpama kes Lina Joy) mempersiapkan prasarana gejala murtad yang sah sementara menunggu penghakiman kes-kes tertangguh seumpama kes Siti Fatimah di mahkamah Pulau Pinang dan yang lainnya yang tidak disebarluaskan.

Apakah masih kita leka atau selesa dengan iman yang selapis bawang ini, tauhid remaja yang fragile, yang retak menanti belah. Duhai! para duat dan dai ayuh mari kita perhebatkan dawah tarbiah sebarkan syiar, bukan menyiram minyak kebencian. Diluar sana remaja masih mencari indetiti diri jangan datang sebagai penghukum, hadirlah sebagai penyeru dengan penuh hikmah.