MENGGAPAI MALAM AL QADAR 2

Petang ini saya terlalu letih. Letih dihujung Ramadan. Namun letih ini berbaloi, ada pahala dan makna, bukan letih yang cuma-cuma. Sudah dua petang KL hujan. Mendung, gelap dan kemudian langit pun memuntahkan segala isinya – air hujan. Ketika hujan reda langit KL kembali cerah dan seperti biasa udaranya nyaman sekali. Letih saya seakan hilang bersama hujan tadi. Saya segar kembali. Kerapkali saya bertanya apakah malam ini Lailatul Qadar akan menjelma. Hadir bersama ribuan bahkan jutaan ‘penduduk langit’ – mereka akan turun ke bumi. Apakah hujan tadi sebagai tanda, bahawa mereka sedang berbaris di penjuru langit. Soalan itu saya tanyakan sambil mendongak ke langit yang lembut.

Saya perlu sangat menjadi pencinta al Qadar yang merindui kehadirannya. Jika tidak pasti ia akan berlalu tanpa menyapa saya. Dia datang dan pergi. Kali ini saya perlu memberi makna baru buat Ramadan. 10 malam terkahir adalah moment-nya ‘the final count down’. Justeru saya akan berlari sepantas yang mungkin memecut hingga ke garisan akhir. Ada ketikanya saya tidak mempedulikan sengal di kaki, ada ketikanya saya tidak mengendahkan jerit pekik suara yang menyuruh saya berhenti. Untuk kali ini saya akan melakukannya dengan segala kudart yang saya ada, mahu saja saya melihat segala natijah yang akan terhasil. Jika saya mahu maka apa ‘jawapan’ Allah untuk saya! Jika kita bersungguh apakah respon Allah terhadap kita, apakah mungkin dibiarkan saja usaha hamba-Nya! Jadi mari kita lakukan yang tebaik dan saya sudah terlajak berlari maka tidak mungkin akan berhenti – cuma tinggal beberapa hari saja lagi.

Aneh!?? masih ada yang tidak terjua. Cuba bayangkan situasi ini, ketika kita tiba di pejabat desas-desus sudah bertiup kencang. Majikan kita akan memberi bonus 5 bulan gaji sempena Hari Raya ini. Wow! Satu mimpi yang menjadi nyata. Kita langsung ke premis majikan, belum sempat pertanyaan itu diajukan majikan kita berkata “Memang benar kali ni bonus kamu akan saya beri lebih dari apa yang anda jangkakan”. Kita terdiam dengan gaji RM5,000 sebulan tak dapat dibayangkan, bermakna hari Raya ini kita akan pulang dengan RM25,000. Namun kegembiraan itu tidak terhenti disitu, ketika kita pulang dan mahu memberitahu isteri dan anak-anak betapa kita akan memperolehi ganjaran yang besar di Hari Raya ini kita menerima SMS dari teman sepejabat yang memang bertugas sebagai PA kepada sang majikan; katanya; “Majikan bersetuju menambah bonus kita bukan 5 bulan gaji tapi 10 bulan gaji”. Kereta yang kita pandu terhenti sendiri, tanpa sempat kita menekan brek. Macam tak percaya, begitu pemurah sang majikan kita. Dihitung sendiri jika gajinya RM5,000 didarab 10 bulan bermakna RM50,000. Nah! jika itu gambaran gembiranya kita bayangkan al Qadar yang menanti BONUS YANG MAHU DIBERI BUKAN 5 BULAN, BUKAN 10 BULAN TETAPI 1,000 BULAN. Jika sempat dihitung RM5,000 didarab dengan 1,000 bermakna kita memperolehi RM5 juta. Dalam tempoh satu malam. Ketika kita mahu berangkat ke alam akhirat maka RM5 juta ini perlu ditukar nilai matawangnya ke matawang ‘akhirat’ yang entah berapa kali ganda nilaianya.

Oh! al Qadar sungguh malang mereka yang membiarkan ia berlalu. Dengan tidur dan dengkur. Sungguh beruntung mereka yang berjaga dengan solat dan munajjat. Terimalah kami sebagai hamba-Mu yang soleh ya Allah. Bagi mereka yang membaca laman ini sudah saya titip doa agar kalian memerolehi malam al Qadar. Amen.

MENGGAPAI MALAM AL QADAR

Ketika dingin itu datang,

ia datang dengan berkah.

Ketika sejuk itu menyelubungi,

ia menyelubungi dengan rahmah.

Ketika ketenangan itu hadir

ia hadir dengan maghfirah.

Maka terhimpun sekali segala berkah, rahmah dan maghfirah.

Disatu malam yang dicari,

malam al Qadar yang dijanji,

oleh pencari setia yang tenggelam dalam kerinduan,

dengan kerinduan yang amat.

Disini di tikar ini,

malam al Qadar dicari.

Dicari oleh seribu lelaki dengan seribu wanita

seribu itu bukan angka tetapi himpunan manusia.

Dibalik tabir malam yang dingin,

di madrasah mussola yang sepi

dengan ribuan malaikat yang memenuhi

bersama ribuan lagi yang menutupi.

Malam yang tiada henti segala tasbih,

tiada berbutir segala zikir

Quran dibaca tanpa suara tapi beralun dan bergema

Bagi mereka malam itu meriah

bagi mereka adalah bahagia.

Malam itu indah dengan cahaya,

Cahaya halus yang berwarna terang,

Terangnya seumpama warna emas yang gemilang.

Seumpama warna putih yang cemerlang.

Tiada terlihat oleh mata akan kilauannya.

Tersembunyi ia dalam kedinginan malam.

Ketika fajar menyingsing bergegas pulang para malaikat,

yang ribuaan jumlahnya,

yang tidak terlihat oleh mata. Sayapnya yang gemilang menopang mentari siang,

lalu teriknya dibias kekiri dan kanan.

Lalu pagi itu damai dan nyaman.

Ya Allah pertemukan aku dengan al Qadar yang dijanjikan.

MADRASAH RAMADAN: MENCAPAI MAQAM TAQWA

Ramadan menyebabkan saya terlupa banyak perkara. Lupa tak boleh makan, lupa tak boleh korek hidung, lupa tak boleh galak mata, lupa tak boleh cakap lepas, lupa tak boleh menggoda dan mengada, lupa tak boleh malas-malas, lupa tak boleh marah-marah, lupa tak boleh cakap bohong. Puasa menjadi semacam ‘in-bulit alarm sistem’. Naluri kita akan berbunyi sendiri – “eh, aku sedang berpuasa’. Berlaku pertembungan sebenarnya diatara kebiasaan kita dengan garis piawaian puasa yang ketat. Jika kerapkali alarm sistem kita itu berbunyi justeru ia menjadi penanda bahawa kita barangkali punya kebiasaan yang jelek-jelek. 30 hari kita akan terikat dengan ‘in-bulit alarm sistem’ ini.  Mahu tidak mahu ia tetap berlaku kecuali yang sengaja memilih mahu menjadi fasik.

Ramadan disebut sebagai madrasah mengubah diri. Inilah huraiannya. 30 hari kita akan dilatih tubi secara sedar untuk memilih yang baik-baik. Bilangan 30 hari itu sebenarnya sudah cukup mengubah sesuatu kebiasaan. Ditambah dengan 6 hari berpuasa Syawal maka terjadi satu kebiasaan baru. Sampai satu ketika menjadi satu kesukaran untuk kita berperangai jelek dan buruk lagi. Semuanya sudah terhapus dan lenyap. Kita sudah membentuk satu set nilai yang baru.

Dalam istilah Tasawuf kebiasaan ini disebut sebagai maqam. Maqam adalah satu hal ehwal yang tidak lagi berubah-ubah. Puasa berupaya melahirkan watak baru, watak yang lebih dekat dengan fitrah Ilahiyyah. Justeru ketika Hari Raya menjelma kitalah yang paling layak menyambutnya sebagai satu bentuk hijrah atau kelahiran semula insan baru. Beruntung orang ini kerana dia sudah memiliki fitrah yang baru.

Hanya di bulan Ramadan Allah memberi keistimewaan ini. Waktu untuk mengubah watak dan mencapai maqam yang baru. Tetapi sedikit malang ketika saya menulis entri ini kita sudah berada di pertengahan Ramadan. Bermakna kurang lebih kita mempunyai 15 hari untuk melakukannya. Oleh kerana itu jika ada mana-mana individu muslim yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh – ihtisaban tidak mustahil dia akan menjadi orang baru ketika Syawal menjelma.