PPSMI TUN MAHATHIR SALAH TAPI TIDAK ADA YANG BERANI MEMBANTAH

 

kerishishamuddin1

Akhirnya saya terlibat secara serius dalam perbincangan PPSMI. Perbincangan tertutup dikalangan lingkungan sahabat yang saya gelar pemikir dan pengkritik sosial. Sambil minum-minum di kafe nasi lemak antarabangsa yang sudah berwajah baru. Isu besar dan penting selepas pilihanraya kecil DUN KT dan redanya serangan regim Israel di Gaza adalah isu mansuhkan PPSMI. Isu ini seharusnya menjadi fokus dan perhatian.

 

7 Mac akan ada perhimpunan besar di Istana Negara, bermula dengan perhimpunan di SOGO, demo membantah perlaksaanan sekali gus memansuhkannya. Kita bersungguh mahu mencipta gelombang selagi PPSMI tidak tumbang. Itu barangkali kata-kata GMP yang menjadi teraju gerakan ini. Ramai pakar dan pencinta bahasa bahkan orang awam mengatakan ini satu tragedi bagi umat Melayu. Namun tak pasti apa kata orang Kementerian Pelajaran. Yang masih mahu mencoba-coba.

 

PPSMI hanyalah satu cetusan atau khulasah pemikiran Tun Dr. Mahathir. Satu percubaan pintas bagi membangunkan bangsa Melayu, itulah yang Tun percaya dan kepercayaan itu mahu dipaksakan pada semua. Barangkali Tun gagal membangunkan bangsa Melayu dalam tempoh pentadbirannya dan Tun mahu melakukannya sekali lagi namun diluar lingkungannya. Tun memang tak kenal putus asa. Tidak dinafikan Tun berjaya dalam banyak hal itu memang saya tabik, termasuk langkah menyelamatkan ekonomi Malaysia dalam krisis kewangan 1997. Idea PPSMI sama seperti idea wawasan 2020, idea jambatan bengkok dan PPSMI adalah buah tangan Tun yang tak kesampaian barangkali. Namun bukan dalam semua hal Tun betul. Tun pun manusia juga, akan buat kesilapan.

 

Jelas kini Datuk Hishamuddin orang dalam perhatian, ditangannya keputusan ini boleh berubah. Kita tidak lupa Datuk Hisham adalah orang yang menjulang keris sambil melaungkan ‘Hidup Melayu’ sehingga nampak anak tekak. Tapi pelik dia berdalih ketika orang Melayu meminta sumpah keramat itu ditunaikan. Kita tidak minta dia tikam sesiapa, cuma minta dia tampil lebih berani bak ‘pendekar semerah padi’; ayuh bela nasib bahasa ibunda mu bukan mengkhianatinya. Kita tahu kenapa Datuk tidak berani, geng yang minum di kafe itu bersetuju; jika Datuk Hisham membantah atau berbuat sesuatu disebaliknya maka bermakna suicidal mission buat karier politiknya. Dia sudah lihat bagaimana Pak Lah diperlakukan bila membantah perlaksanaan “Jambatan Bengkok”. Karier politik Pak Lah jadi tak lurus bahkan tak kesampaian. Mana ada orang politik UMNO yang tak seram, tambah cita politk Datuk Hisham yang baru mula bercambah. Begitu Tun Mahathir masih punya sentuhan magis. Kini Pak Lah semacam dipaksa turun secara terhormat. Memang ada garis-garis duka diwajahnya, kesian dia. Inilah yang ditakuti Datuk Hisham dan juak-juaknya.  Maka itu alasan terkuat kenapa Datuk Hisahm buat macam tak tahu saja isu PPSMI ini.

 

Datuk Hisham kena faham kalau mahu digelar pejuang pendekar malah, maka dia kena “membujur lalu melintang patah” atau “berkerat rotan berpatah arang” kalau tidak lupakan saja. Kalau tidak jangan diulang aksi menjulang keris itu – memalukan. Lebih baik julang periuk belanga atau tudung saji itu lebih relevan barangkali. Ketahuilah Tun bukan Superman beliau tetap orang biasa, dia sendiri mengaku dia dah tua. Memang benar beliau  berjasa dengan gagasan membina Malaysia baru dengan slogan Malaysia Boleh. Tapi itu tidak bisa membutakan kita. Yang mahu kita perjuangkan adalah bahasa yang menjadi pillar ketuanan dan jatidiri bangsa Melayu. Ya, Tun memang telah mencetuskan gagasan lima bintang namun tidak semuanya bersinar terang. Dari gagasan mega itu ada yang kecundang dan terbukti gagal bahkan blunders besar mengheret kerugian, kepincangan dan kekalahan parti UMNO sendiri. Ironisnya politik UMNO, Tun marah bila Pak Lah tak boleh ditegur, ahli UMNO diam membisu, tapi bila tang dia … lu pikirlah sendiri! Orang UMNO sebetulnya sudah dihidapi sindrom takut, takut dan takut @ fobia, bacul dan hipokrit; dan jangan terperanjat ia adalah ‘graduan’ hasil keluaran era Tun dr. Mahathir.

 

Disenaraikan 4 kesilapan utama Tun yang mengehert partinya, wang negara dan bangsa Malaysia terpecah dua . Memang sidang pembaca ada hujah tersendiri namun perhalusi baik-baik tanya hati nurani :-

 

 

  1. Tun salah melantik Pak Lah sebagai PM; dan terbukti UMNO semakin lemah serta corak pemerintahan BN sudah ditolak, UMNO dikuasai kroni yang ditentang oleh DS Anwar Ibrahim. Apa yang ditakuti terjadi pada DS Anwar dimiliki dengan sempurna oleh Pak Lah. Mebolot hasil untuk kroni, menolak dan menjauhkan UMNO dengan Tun Mahathir dan menukar serta mengubahsuai dasar termasuk gagasan besar seperti  wawasan 2020 sejurus pentadbirannya diambil alih. Kesian Tun…
  2. Tun salah perkenalkan Akta Universiti dan Kolej, yang difikirkan  bagus sehingga hari ini. Tanpa mengetahui keluaran graduan dan anak muda hari ini lebih berorientasikan peperiksaan. Tidak dinamik, bijak-pintar, kritis, kreatif dan berani. Khususnya pelajar dan graduan Melayu. Dibambu anak Melayu yang lemah dan terlalu mengharap sedangkan aktiviti kepimpinan disekat dan dikawal, sistem universiti dan kolej hanya menekankan kelulusan semata-mata. Setelah lebih 30 tahun dikuatkuasakan inilah hasilnya. Anak muda yang mengharap gran kerajaan, subsidi, lebih selesa dengan budaya ampu dari berjuang untuk berdikari.  Kini kita ketandusan pemimpin pelapis yang berkualiti – pandai ramai tapi tak boleh pakai. 
  3. Tun salah memecat DS Anwar. Atas alasan apa sekalipun kini bangsa Melayu terpecah-pecah khsususnya dalam UMNO sendiri. UMNO ketandusan pemimpin pelapis yang berkualiti. Yang ada ampu sana dan ampu sini. Susah nak cari pemimpin UMNO yang tulus berjuang.
  4. Tun salah melantik Eric Chia sebagai Pengarah Urusan Perwaja dan mempertahankan dia sungguhpun kurang kredibiliti bisnes yang diceburinya. Kerugian negara sekitar RM9.9B adalah kerugian terbesar dalam sejarah industri negara pada ketika itu.
  5. Dan kini Tun mahu menambah koleksi kesilapannya … Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar Matematik dan Sains …. kesian Tun.

Entri ini sedang diedit dan diubahsuai untuk dihantar ke kolum siar harakah. Ayuh! Bersama dengan gerakan ini …

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

GAZA 2009

gaza_454356apales41

pales2

 

Menanti Damai Di Gaza

 

Palestin terus berdarah

bumi Gaza dibakar lebur

Dunia bungkam, langit kelam

Anak kecil menangis, si ibu meratap, si ayah syahid

Masih bertahan mereka di dunia yang terpenjara

Menanti merdeka yang tak kunjug tiba.

 

Baru semalam si anak bertanya

Bila lagi damai akan tiba

Anak kecil itu berlari hingga ke kaki langit

Menjerit damai masih belum tiba

Di atas bumi yang damainya hanyalah harapan

 

Si anak kecil masih tertawa

tetapi bukan kerana riang

kerana si ibu cuba berjenaka

menghilang tangis dan rasa duka

Anak tadi sudah magli dengan segala dentuman

Yang paling mengejutkan

si anak tidak mengerti damai itu apa

 

Baru semalam bumi Gaza merkah

merah disimbah darah

hangat harum semerbak

laksana kasturi disyurgawi

dicelah runtuhan batu

jemari halus si anak tadi terkulai layu

 

walau cuba dialih

Dunia tetap memerhati

Di pintu langit suara si anak rupanya disahut

Penghuni langit mendengar suara itu

si anak tadi merayu

Langsung dijawab rintihan penuh sayu

damai dan kemenangan tetap akan bersatu.

 

NURANI MAARIF, Sabtu 3 Januari 2009.

 

 

Nukilan rasa ini dikirim ke Mingguan (Utusan) untuk tatapan umum, moga disiarkan…

 

Belum tentu kita dapat bertahan diatas cubaan yang menimpa Palestin.

http://www.youtube.com/watch?v=0yCQxAFGhy0 (kekejaman Israel)

 

Ayuh mari kita meng-Ameen-kan dua’ ini. Moga bantuan Allah segera datang…http://www.youtube.com/watch?v=S7EqyTS0s24 (Qunut Nazilah)