MUSIM PARTI BERBALAH

tok_guru_nik_aziz

Kalau boleh saya tidak mahu lagi menulis hal-hal politik. Saya kena fokus dengan tema tulisan saya. Namun didesak kawan yang asyik duduk berbincang benda yang sama berulang-ulang. Ubah topik pun ‘landing’ ke topik yang sama – Tuan Guru Nik Aziz (TG) & EGM-nya.

Antara buah kata yang lazim ketika membahas isu ini, “Tak patut TG Nik Aziz keluar statetment macam tu – tambah pecah ada – Dah mula orang hilang respect dengan TG – Dah sampai masa TG Nik Aziz berundur – Ada orang cucuk TG – TG Nik Aziz menyebelahi geng liberal – PAS yang kuat dan jadi lemah” dan seterusnya. Saya faham kenapa begitu sekali concern orang kita dengan PAS, PAS parti Melayu ke-2 terbesar dan barang diingat PAS adalah parti Islam TERBESAR di Malaysia. Itu pasti. Maka, pecah 2 bukan solusi terbaik. Moga tidak jadi sperti PLO – pecah dua jadi HAMAS dan Fatah.

Malas rasanya nak buat ulasan, nak memandai-mandai (tapi dah terlajak borak). Ini musim parti besar berbalah – itu aje komen saya bila ditanya. UMNO pun pecah juga ribut-ribut cuma sekarang dah reda – esok lusa belum tentu, MIC sampai sekarang tak reda-reda, MCA macam dah ok tapi masih ada kata nista di belakang. Cuma MCA menunjukkan kematangan dalam politik. PKR baru tadi nampak pecah bermula di Sabah. Bottom line, krisis memang ada dalam politik semua disebabkan kuasa ( cuma dalam UMNO ada satu lagi faktor fulus yang banyak ).

Bagi yang matang menilai ini perkara biasa dan boleh jadi luarbiasa, bergantung sisi mana yang kita lihat – ia amat bergantung pada persepsi. Ini adalah cabaran. Cabaran menerajui parti Melayu-Islam. Rencam dan renyah. Ia menguji kredibiliti kepimpinan bagaimana mereka harus tangani. Barangkali benar ini satu proses pemutihan atau pembersihan, atau proses muhasabah prinsip perjuangan. Mana yang perlu didahulukan parti, kawan atau prinsip perjuangan. PAS tetap saya sokong kerana tanpa ragu tetap teguh pegang perjuangkan al Quran dan Sunnah, mengangkat martabat ulama ‘at par’  dengan  umara’ bahkan lebih tinggi. Jika itu dikesampingkan atau jatuh no.2 maka, jangankan saya orang lain akan turut cemuh dan tawar hati. Kekuatan PAS pada prinsip perjuangan – menjunjung tinggi Islam.

Taktikal dan strategi jatuh no. 2 dan 3. Sebab kemenangan adalah milik Allah. Ia hanya ‘asbab’ bagi sebuah kemenangan. Allah boleh bagi kemenangan dengan pelbagai cara – tidak semestinya pandai strategi, kawan dengan orang hi-profile, kawan dengan orang banyak duit. ‘Politik jaga hati’ adalah politik murahan yang berbahaya. Politik hanyalah front page sebuah perjuangan inner page adalah prinsip. Front page boleh berubah boleh datang dan pergi. Jangan takut hilang kawan dalam perjuangan, jangan takut hilang jawatan – bukankah nabi pernah menghadapi krisis demi krisis, dalaman dan luaran antaranya; bila ditawarkan semua habuan dan jawapan nabi jika matahari diletakkan di sebelah kanan ku dan bulan diletakkan di sebelah kiri ku, nabi tidak akan mengubah prinsip perjuangan – tidak ada kompromi dengan prinsip. 

Barangkali analogi itu tidak menyangkut soal isu perbalahan ini.

Siapa musuh, siapa kawan. Inilah isu di balik tribulasi Pakatan. PAS berada dalam dilemma ini. TG Nik Aziz melihat UMNO adalah musuh, maka tim yang dikatakan pro Perpaduan melihat lebih jauh dari itu. Maka hadis orang mukmin tidak akan dipatuk ular dalam lubang yang sama diguna untuk UMNO sementara tim yang satu lagi guna untuk musuh yang lebih besar – barangkali, itulah telahan saya. Musuh Islam banyak yang jelas disebut dalam al Quran Yahudi dan Nasrani, kerana mereka tidak akan duduk diam sehingga kita menurut jejak langkah mereka. UMNO masuk kategori mana? Yang harus diperangi UMNO bukan ‘batang tubuh’ UMNO tetapi fahamannya. Budaya UMNO menyebabkan ia menganut faham material melampau. Obses dengan politik wang dan kuasa. Tetapi bagi entiti yang dibayangi Yahudi dan Nasrani yang sukar dicerakinkan DNA-nya, sukar nak ditelah bahayanya – maka lebih baik berwaspada dari menyerah segala. Golongan ulama, pendakwah dan pejuang kena faham. Melihat isu ini dari semua sisi. Ini bukan soal memerintah sebuah negara dan negeri tetapi melangsungkan kesinambungan sebuah perjuangan, wallahu’alam [full stop]

Advertisements

Politik Melayu Kembali Ke Era Pra-matang

Sedih mengenangkan kemelut politik orang Melayu. Bertingkah sampai bercerai, berbalah bak kokok berderai. Sahut menyahut kata nista, caci maki dan mengata, tak puas hati, dendam kesumat semuanya sudah jadi ‘tag’ – tanda orang Melayu. Tak lekat semua satu pasti ada. Kelompok, puak, kroni dan segala macam jadi teras politik orang Melayu. Kata pepatah ‘Bersatu itu Teguh..’  hanya terpakai dalam garis lingkungan sendiri bukan untuk sesama bangsa. Ingatkan sesudah selesai PRU boleh duduk makan semeja, rupanya tidak makin keruh di hulu semakin kelam di muara. Elemen ‘ketidakpastian’ adalah satu kekurangan yang nyata.

Dimana silapnya, jika merujuk pada dua parti utama yang jadi peneraju orang Melayu iaitu UMNO dan PAS, maka sinar terang masih tidak kelihatan. Sungguh yang kelihatan menang dalam PRU suara keadilan dan kuasa baru yang lebih transparent melalui Pakatan Rakyat namun terlalu awal untuk mengatakan PKR mewakili orang Melayu seluruhnya. Hasil dan natijah PRU baru lalu, jelas menampakkan rakyat memilih prinsip bukan simbol dan institusi. Dengan kata lain intinya. Kekurangan ini jelas pada UMNO, PAS selamat kerana terus berpegang dan menjulang al Quran dan as Sunnah; kerana keduanya adalah teras segala inti.

Inilah yang tidak difahami oleh Melayu UMNO hingga ke akhirnya, mereka hanya memperjuangkan slogan, simbol dan institusi (dan keris juga…). Bukan tidak ada arus dan kelompok yang teguh memperjuangkan ‘inti’ dalam UMNO, pasti ada; tetapi persoalannya berapa kerat dan apakah ia membudaya? Jika kenyataan tadi dipertikai, mengapa orang Melayu UMNO sendiri dan Melayu lainnya ‘cuak’ untuk memilih BN-UMNO dalam PRU baru lalu. Berapa ramai atau berapa kuat arus mempertahan dan memperjuangkan bahasa Melayu, tanah Rezab orang Melayu, agama orang Melayu dari terus dicemari dari anasir murtad dan elemen fasik. Betapa bobroknya akhlak remaja Melayu hanya jadi bahan cerita buat pelaris media. Berapa ramai pendekar dan pahlawan Melayu yang tampil secara konsisten dan sanggup berhujan panas mempertahankan segala isu-isu tadi. Sepertimana sesetangah mereka yang gagah mempertahankan jawatan dan kerusi; yang sanggup berkerat rotan dan berpatah arang. Dimanakah mereka? Kini UMNO hilang punca terpaksa mencari kekuatan luar, simpati sebetulnya. Parti yang dahulunya gah kini bak singa tua yang hilang taringnya. Tinggallah anak-anak singa (cub) – si simba. 

Dalam masa yang sama PAS tidak diterima secara total oleh orang Melayu kerana fakotr yang pelbagai.  Jika ada yang menyokong PAS mungkin hanya kerana Tuan Guru dan negeri ‘serambi Mekah’ atau kerana tetap pada prinsip Shariah dan berbagai faktor yang terpisah-pisah. Maka PAS masih perlu berusaha untuk diterima sebagai yang dominan (melalui dakwah dan tarbiah barangkali). PKR masih mencuba ‘resipi’ baru buat mengubat duka lara orang Melayu, Cina, India, Iban, Serani dan pelbagai lagi. Diantara celah dan kemelut itu kelihatan ‘tongkat sakti’ orang Melayu yang tidak pasti siapa empunyanya? Siapa yang bersedia untuk menyambut ‘tongkat’ itu lalu melangkah gagah masih menjadi tanda tanya?